Friday, August 23, 2013

Ganjaran Puasa Enam Di Bulan Syawal


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ صَامَ الدَّهْر

Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari bulan Syawal maka seakan-akan ia berpuasa setahun". (HR Muslim)


.
Di antara manfaat lain Puasa Enam Syawal adalah:
  1. Sebagai penampal terhadap segala kekurangan amalan puasa di bulan Ramadhan.
  2. Semua amalan mendekatkan diri kepada Allah SWT. pada Ramadhan, tidak akan terputus dengan berlalunya bulan mulia itu, selama dia masih hidup.
  3. Mudah berpuasa selepas Ramadhan menandakan diterimanya puasa Ramadhan kerana melakukan kebaikan kemudian diteruskan dengan kebaikan lain, maka ianya sebagai tanda terkabulnya amal pertama.
  4. Allah SWT menjauhkan orang yang berpuasa enam daripada api neraka dengan jarak tujuh puluh tahun.
  5. Puasa selepas Aidilfitri adalah antara tanda kesyukuran atas nikmat pertolongan dan keampunan yang dianugerahkan Allah ketika Ramadhan.
.
.
PAHALA SETAHUN PUASA
Pahala puasa Ramadhan yang diamalkan menyamai pahala puasa satu tahun penuh. Ini kerana setiap hasanah (kebaikan) diberi ganjaran 10 kali ganda.
Imam Ahmad dan An-Nasa’i, meriwayatkan daripada Tsauban, Rasulullah SAW. bersabda: Puasa sebulan di bulan Ramadhan sama seperti ia berpuasa selama 10 bulan dan berpuasa selama 6 hari selepasnya (Syawal) menyamai puasa 2 bulan.  Maka yang demikian bererti (kamu) telah berpuasa untuk setahun.”  - (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)
Manakala di dalam kitab Sabila al-Muhtadin pula, dinyatakan; puasa 30 hari pada bulan Ramadhan ganjarannya sebanyak 300 hari, manakala puasa enam hari pada bulan Syawal pula ganjarannya sama dengan 60 hari.
Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari, bersamaan dengan setahun (kalendar Qamari). Maka seolah-olah kita telah berpuasa sepanjang tahun hingga Ramadhaan tahun depan.

No comments :

Post a Comment