Sumber BH 2013/09/20 (Jumaat)
Hasrat ke Baitullah bersama anak tercapai selepas 10 tahun
Mulutnya
tidak lekang menyebut, pendapatan mereka suami isteri tidak banyak
disebabkan hanya menjawat jawatan rendah dalam kerajaan.
Bagaimanapun, telus hati pembantu pendaftaran di Jabatan
Pendaftaran Negara, Kalthum Said, 57, berkongsi cita-citanya dan suami,
Fajaruddin Abdul Rahman, 62, pesara penjilid buku dari jabatan sama
iaitu untuk bersama-sama mengerjakan haji bersama kedua anak mereka,
Alif ,27, dan Salina Fajaruddin, 19, cukup mengesankan.
Niat yang baik akan dipermudahkan Allah dan kedua mereka antara insan
yang bertuah kerana sekali lagi dijemput menjadi tetamu Allah selepas
kunjungan haji pertama mereka pada 2003.
Istimewanya kunjungan kali ini, mereka ditemani Alif dan Salina.
Cerita Kalthum yang ditemui sewaktu majlis doa selamat di kediaman
mereka sebelum menaiki penerbangan KT 15 minggu lalu, 10 tahun lalu
sewaktu tiba di Mina, mereka melihat ada keluarga yang membawa anak
mengerjakan haji.
“Suami yang seronok malah berterusan menyebut perkara sama bila terlihat jemaah bersama anak.
“Keinginan itu tidak setakat itu saja kerana sejurus kembali, kami
tidak mengambil masa lama untuk mendaftar nama kami sekeluarga di
Lembaga Tabung Haji (TH),” katanya lembut.
Benar kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada
siapa yang tahu. Seperti kata Kalthum, waktu mendaftar kali kedua, belum
ada pengurangan kuota jemaah seperti sekarang.
“Jadi, waktu daftar sekitar 2005, pihak TH terus cetak penyata,
mengatakan giliran kami empat beranak adalah pada 2013. Semuanya mudah
dan lancar, jadi kami anggap ini sebagai rezeki dari Allah SWT,”
katanya.
Berkat rezeki
“Gaji tidak besar tapi cita-cita untuk Makkah ada, jadi, secara
tidak langsung kita akan mencuba untuk merealisasikan impian itu.
“Lagipun, saya sendiri sudah merasainya. Bila sudah ke Makkah,
rezeki berkat. Ia tidak boleh digambarkan tapi kita sendiri dapat rasa.
“Bukan bila kata berkat, wang itu sentiasa banyak tapi Allah
permudahkan dengan cara lain misalnya kesihatan yang baik, kereta tidak
meragam dan pelbagai lagi yang kita tidak sangka,” kata Kalthum yang
membiayai wang tabungan TH kedua anaknya hasil simpanan mereka suami
isteri.
Malahan, kerana terhutang budi kepada abang iparnya yang menjaga
beliau sewaktu kecil, Kalthum turut memenuhkan akaun TH kakak dan abang
iparnya itu.
“Abang ipar saya sudah tua, umur 77 tahun tapi sayangnya, belum
rezeki mereka untuk ke sana. Jadi, tahun ini hanya kami empat beranak
saja yang pergi dulu,” katanya.
Selesa menjadi jurucakap berbanding suami yang leka melayan tetamu
yang menziarah, kata Kalthum, beliau menyimpan dalam akaun TH melalui
potongan gaji.
“Jumlahnya tidak banyak, hanya RM20 sebulan dan ia saya lakukan sejurus mula berkhidmat dulu.
“Tidak hanya itu, asal ada wang selonggok, saya terus simpan
misalnya wang bonus, langsung kami tidak usik dan duit hasil main kutu.
Apabila pakcik pencen, terus kami penuhkan duit dalam akaun untuk anak
juga,” katanya.
Tangguh pengajian
Sementara itu, Salina sewaktu ditemui kelihatan seperti tidak percaya bakal bergelar hajah pada usia muda.
“Seronok tapi saya tak sangka tapi hati memang tidak sabar hendak
menjejakkan kaki ke Tanah Haram kerana sebelum ini saya hanya mendengar
cerita mak abah saja,” katanya.
Demi untuk tidak mensia-siakan peluang yang ada, pelajar tahun
satu jurusan perniagaan, Kolej Politeknik Mara, Bangi itu sanggup
menangguhkan pengajian satu semester, tahun ini.
“Saya bakal berada di sana selama 46 hari dan kebetulan
peperiksaan akhir adalah pada Oktober dan sebelum ke Makkah juga saya
perlu menghadiri kursus dan kelas bagi jemaah, jadi, jalan terbaik
adalah menangguhkan pengajian dulu untuk satu semester,” katanya.
Sebelum meminta diri menyambut kunjungan tetamu, beliau sempat
berkongsi niatnya yang ingin memohon doa supaya diberikan rezeki untuk
lulus cemerlang dalam pelajaran dan seterusnya ditawarkan melanjutkan
pengajian di universiti terbaik.
Abangnya, Alif, yang bertugas di Syabas sebagai Eksekutif
Kesihatan dan Keselamatan Alam Sekitar, berkata beliau rasa benar-benar
beruntung kerana dapat mengerjakan haji pada usia muda.
“Abah sendiri ada beritahu, dia berdoa supaya dapat bawa kami ke sana dan alhamdulillah, doanya dimakbulkan Allah.
“Saya gembira dan bersyukur kerana haji pertama ini adalah bersama
ibu, ayah dan adik. Peluang ini tidak semua dapat merasainya,” katanya.
Bagaimanapun, kata Alif, beliau sedikit ralat kerana kesibukan
tugas di hari biasa sementara hari minggu pula perlu menghadiri kelas,
menyebabkan tidak dapat menghadiri kursus haji sepenuhnya.
“Saya cuma belajar melalui internet. Saya tahu, kedua ibu bapa
akan banyak membantu dan doakan, semoga perjalanan haji kami ini
dipermudahkan dan seterusnya mendapat haji mabrur,” katanya menerusi
perbualan WhatsApp ketika berada di Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya
beberapa jam sebelum terbang ke Madinah.